Friday 19 February 2010

Nisa Pemangkin Perubahan


Wanita, muslimat, atau nisa, itu semua gelaran-gelaran yang sepadan bagi kaum hawa. Kaum hawa memainkan peranan yang cukup penting dalam pembinaan tamadun kemanusiaan.

Tugas yang terpikul kepada kaum hawa untuk membawa perubahan yang lebih baik kepada masyarakat adalah sangat penting dan kaum hawa harus menjadi “pemangkin” kepada perubahan itu.

Apakah pula yang dimaksudkan sebagai “pemangkin”? Merujuk kepada kamus DBP, pemangkin adalah faktor atau unsur yang dapat mempercepatkan atau menyegerakan berlakunya sesuatu perkembangan dan sama erti dengan catalyst (dalam Bahasa Inggeris).
Maka selaku pemangkin untuk melakukan satu perubahan yang lebih baik nisa/kaum hawa perlu kepada ciri-ciri utama atau sifat-sifat berikut :

1. Penyuluh – petunjuk kepada matlamat yang terang dan jelas. Selaku penyuluh nisa/kaum hawa perlulah memahami matlamat atau objektif yang hendak dicapai dan bagaimana untuk mencapainya,

2. Pendorong – mempertingkatkan keazaman dan kesungguhan untuk mencapai matlamat. Membantu membina sikap yang istiqamah dan fokus terhadap tugas dan tuntutan yang telah diamanahkan,

3. Pembimbing – membantu dan menunjuk ajar dalam melaksanakan tugas ke arah pencapaian yang cemerlang. Membina sikap agar tidak takut untuk mencuba, tidak phobia terhadap kegagalan. Berani kerana benar dan tidak segan untuk bertanya jika tidak tahu.

4. Pemantau – muhasabah, mengawas, memerhati dan menilai kerja-kerja yang telah dilaksanakan. Membina sikap berani memberi teguran ikhlas serta mengakui kesilapan dan memperbetul tatacara, kerana asasnya mengikut hukum fiqh matlamat tidak menghalalkan cara, mestilah semua gerak kerja berlandaskan cara Islam.

5. Pengiktiraf – memberikan pujian atau pengiktirafan terhadap kejayaan dan kecemerlangan pelaksanaan satu-satu tugas. Memberikan kata-kata semangat agar para nisa/kaum hawa merasai benar-benar hasil kerja yang ia jalankan. Bak kata-kata pendorong dalam Bahasa Inggeris - “give credit to where it is due”.

Kesimpulannya, dalam usaha mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran, setiap tenaga nisa/kaum hawa harus bersedia dilatih sebagai pemangkin yang efektif dan berjaya dibentuk menjadi mujahidah solehah yang amat prihatin dan memahami sasaran dakwahnya.

No comments:

Post a Comment